ad
AGENDA

Doktor ditahan semula susulan laporan polis ketiga wanita warga asing

10 Mac 2025, 6:30 AM
Doktor ditahan semula susulan laporan polis ketiga wanita warga asing

GEORGE TOWN, 10 MAC: Doktor perubatan sebuah hospital di sini yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit Khamis lalu, ditahan semula hari ini bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 43 tahun itu tamat hari ini, namun suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga dibuat terhadapnya Jumaat lalu.

"Lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kita hendak melengkapkan siasatan kes berkaitan laporan ketiga dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya juga menjadi mangsa.

"Doktor itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada 9.30 malam 26 Februari lalu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital. Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.

Bagaimanapun suspek ditahan semula Khamis lalu, selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023, dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.

Jumaat lalu seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.