ad
AGENSI

Ribut Sekinchan: Yayasan MBI salur RM70,000 baiki sekolah, rumah

10 Mac 2025, 6:08 AM
Ribut Sekinchan: Yayasan MBI salur RM70,000 baiki sekolah, rumah
Ribut Sekinchan: Yayasan MBI salur RM70,000 baiki sekolah, rumah

SHAH ALAM, 10 MAC: Sejumlah RM70,000 diperuntuk Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi membaik pulih sekolah dan kediaman mangsa ribut di Parit 4, Sungai Burong di Tanjong Karang.

Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata RM50,000 digunakan untuk baik pulih bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 yang strukturnya tercabut dalam kejadian minggu lalu.

“Sekolah ada membuat permohonan kepada kementerian tetapi prosesnya mengambil masa. Oleh itu, kita dahulukan mana penting dan serah bantuan segera supaya tidak mahu jadi lebih teruk jika hujan.

“Bagi kediaman pula, kontraktor yang dilantik Yayasan MBI telah laksana kerja pembersihan puing-puing bagi memasang kanvas sementara pada bumbung rumah sebelum penyelarasan lanjut pembaikan diurus Unit Pengurusan Bencana Negeri,” katanya dihubungi Selangorkini.

[caption id="attachment_690618" align="alignnone" width="756"] Kerja pembaikan rumah mangsa ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang sudah dijalankan oleh kontraktor lantikan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Foto Facebook Ahmad Azri[/caption]

Khamis lalu, lapan rumah musnah akibat ribut kencang di Parit 4, Sungai Burong, bagaimanapun tiada mangsa cedera atau maut dalam kejadian jam 7.30 pagi itu.

Selain rumah, SK Parit 4 turut mengalami kerosakan bumbung, kuarters guru, kantin dan garaj kereta.

Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada semua mangsa yang kediamannya mengalami rosak teruk.

Tambah Ahmad Azri, pihaknya sedang menunggu maklumat terperinci daripada ketua kampung bagi penambahan bantuan untuk peniaga bazar dan beberapa premis perniagaan akibat kejadian ribut itu.

“Difahamkan ada mangsa lain lagi dan kita sedang tunggu perinciannya. Bagi rumah tok kadi yang juga terkesan jangka kerja pembaikan selesai dijalankan hari ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.