SHAH ALAM, 10 MAC: Sembilan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) akan dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga mereka berusia 18 tahun.
Menteri pembangunan keluarga berkata hak itu diberikan selepas mahkamah mengeluarkan perintah tetap untuk mereka terus berada bawah jagaan dan perlindungan JKM, lapor Berita Harian.
"Ini kerana tiada siapa termasuk ibu bapa yang tampil untuk mengambil mereka. Oleh itu, JKM akan mengambil tanggungjawab menjaga sehingga berusia 18 tahun," kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurutnya, hanya tinggal 10 daripada keseluruhan 560 orang kanak-kanak masih bawah perlindungan JKM selepas sebahagian besarnya diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Beliau menambah JKM akan terus memantau keadaan kanak-kanak tersebut bagi memastikan fizikal dan mental mereka tidak diabaikan meskipun bawah jagaan ibu bapa.
Media sebelum ini melaporkan seramai 660 kanak-kanak diselamatkan dengan 560 daripadanya mendapat diletakkan bawah JKM untuk perlindungan sementara bermula September hingga Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, Nancy berkata ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka semula perlu mematuhi
syarat tambahan berdasarkan Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, ia bagi melindungi mereka membabitkan pemakluman alamat, tidak berlaku perbuatan penganiayaan dan penderaan selain memastikan anak-anak itu mendapat pendidikan formal.
"Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga perlu mengikuti bengkel interaktif dibuat pegawai psikologi JKM selain perlu hadir ke jabatan setiap tiga bulan untuk pengawasan.
"Kita juga tidak membenarkan kanak-kanak ini dijadikan bahan kandungan (content) media sosial. Semua syarat ini adalah berasas," katanya.