SHAH ALAM, 9 MAC: Dato' Menteri Besar meluangkan masa menzirahi keluarga salah seorang mangsa terlibat kemalangan di Jordan sebentar tadi.
Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan kedua ibu bapa kepada Fatimah Nuha Mustaza akan berangkat ke Jordan malam ini untuk menguruskan anak mereka.
"Fatimah Nuha merupakan pelajar jurusan Bahasa Arab di Universiti Mu'tah, Jordan dan beliau kini masih berada di hospital setelah menjalani pembedahan," katanya di Facebook.
Menurut Amirudin beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu bapa pelajar berkenaan selain mendoakan kesejahteraan buat anak Selangor yang belajar di luar negara.
"Insya-Allah, Kerajaan Negeri sentiasa memantau keadaan semasa berhubung kebajikan para pelajar Selangor di luar negara.
"Di bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa agar urusan pelajar ini dan keluarga mereka dipermudahkan dan diberi kesembuhan," katanya.
Tengah hari tadi, Amirudin memaklumkan dua anak Selangor yang menuntut di Jordan cedera termasuk seorang parah selepas terlibat dalam kemalangan.
Dua mangsa berkenaan ialah Sumayya Azamuddin yang dilaporkan cedera ringan, manakala Fatimah Nuha Mustaza alami kecederaan parah.