SHAH ALAM, 9 MAC: Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan sempadan Kelantan-Thailand susulan kejadian letupan dan tembakan yang mengakibatkan dua anggota sukarelawan pertahanan negara jiran itu maut di Sungai Golok, malam tadi.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tindakan itu diambil bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku termasuk mereka yang mendalangi serangan itu lari ke Malaysia melalui Kelantan, lapor portal Berita Harian.
"Kawalan kita di sempadan sebelum ini pun memang sudah ketat, namun susulan kejadian malam tadi, kita pertingkatkan lagi tahap kawalan.
"Malah, semua petugas di lapangan juga sudah dimaklumkan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kawalan kita di sempadan memang 24 jam. Kita akan pertingkat kawalan dari semua sudut," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan dua sukarelawan pertahanan maut manakala lapan lagi cedera dalam serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, malam tadi.
Serangan berlaku kira-kira jam 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.
Jurucakap polis Sungai Golok berkata insiden berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun mengesahkan insiden berkenaan tidak membabitkan rakyat Malaysia.