ad
AGENDA

Bapa meninggal dunia selepas bertemu anak dibebaskan dari penjara Israel

8 Mac 2025, 3:45 PM
Bapa meninggal dunia selepas bertemu anak dibebaskan dari penjara Israel

KAHERAH, 8 MAC: Warga Palestin Basem Ibrahim Sabbah meninggal dunia semalam di ibu negara Mesir, Kaherah hanya beberapa jam selepas bersatu semula dengan anaknya, Ayham, 24, yang diusir selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa pendudukan Israel pada 25 Januari sebagai sebahagian daripada kumpulan kedua tahanan yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Memetik institusi tahanan, Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel sama ada menghalang atau menangguhkan perjalanan kebanyakan keluarga tahanan yang dibebaskan dan diusir, sehingga menyukarkan pertemuan semula mereka.

Sebuah video yang tular di media sosial merakamkan detik penuh emosi Ayham bertemu bapa dan ibunya buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun di lorong sebuah hotel di Kaherah. Tidak lama kemudian, keluarga itu mengumumkan bahawa bapa Ayham meninggal dunia akibat krisis kesihatan secara tiba-tiba.

Sabbah berasal dari bandar Qaffin di utara Tulkarm dan menetap bersama keluarganya di Beitunia, barat Ramallah. Anak lelakinya, Ayham, ditembak oleh tentera Israel pada 18 Februari 2016 ketika berusia 14 tahun sebelum ditahan. Beliau dijatuhi hukuman penjara 35 tahun sebelum dibebaskan pada Januari di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dan diusir secara paksa.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel membebaskan 1,777 tahanan Palestin, dengan puluhan daripadanya diusir secara paksa dari Palestin.

- BERNAMA-WAFA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.