ad
AGENDA

Sarawak mula dilanda banjir, mangsa Sabah meningkat kepada 1,010 orang

8 Mac 2025, 3:28 PM
Sarawak mula dilanda banjir, mangsa Sabah meningkat kepada 1,010 orang

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Sarawak negeri terbaharu dilanda banjir melibatkan daerah Lawas manakala situasi bencana itu di Sabah semakin buruk dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), semakin meningkat malam ini.

Di Sarawak, 35 penduduk dari empat kampung di Trusan, Lawas dipindahkan ke PPS yang dibuka di Dewan Trusan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digerakkan ke lokasi pada 10 pagi setelah menerima panggilan paras air Sungai Trusan mencatatkan 0.91 meter.

Mangsa terlibat adalah dari Kampung Ranau (10 orang), Kampung Lubuk Abai (enam), Kampung Seberang Kedai Trusan (14) dan Kampung Murud Suang Trusan (lima).

Operasi pemindahan yang dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah Trusan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tamat pada 4.55 petang.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,010 orang daripada 325 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 522 orang daripada 154 keluarga, 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 20 kampung terjejas iaitu masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut dengan trend pemindahan mangsa meningkat.

Menurut kenyataan, 780 orang daripada 249 keluarga dipindahkan di dua PPS di Beaufort iaitu PPS Dewan Selagon dan PPS Dewan Dun Banir manakala 230 orang daripada 76 keluarga berlindung di satu PPS di Membakut yang dibuka hari ini iaitu Dewan Kesenian Islam Membakut.

Di Melaka, situasi banjir pulih sepenuhnya selepas PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditutup 5.45 petang tadi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.