SHAH ALAM, 8 MAC: Kerja pembersihan rumah mangsa ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang sudah dimulakan oleh kontraktor lantikan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan kanvas sementara akan dipasang pada bumbung rumah selepas kerja pembersihan dilakukan.
"Kontraktor lantikan Yayasan MBI dengan kerjasama Pusat Khidmat Penyelaras DUN Sungai Burong telah memulakan kerja pembersihan puing-puing bagi memasang kanvas sementara pada bumbung rumah.
"Penyelarasan lanjut pembaikan rumah ini akan diuruskan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri," katanya menerusi Facebook hari ini.
Dalam kejadian 7.30 pagi kelmarin, lapan rumah rosak akibat ribut kencang namun tiada mangsa cedera atau meninggal dunia.
Selain rumah, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 turut mengalami kerosakan bumbung, kuarters guru, kantin dan garaj kereta.
Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada semua mangsa yang kediamannya rosak teruk.
[caption id="attachment_690619" align="aligncenter" width="1037"] Kerja pembaikan rumah mangsa ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang sudah dijalankan oleh kontraktor lantikan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Foto Facebook Ahmad Azri[/caption]