ad
BUDAYA

1/3 Landskap Siang Musim Kemarau

7 Mac 2025, 10:00 PM
1/3 Landskap Siang Musim Kemarau

 

mata siapa? belum buta melihat udara panas ialah emas-emas atau dengarkah? garau suara kemarau menghalau tujuan-tujuan, giliran anak-anak hujan ditatang sederhana, maka mereka kurang nakal demi (mungkin) sekali dapat kukhabarkan mukim ini akan salji bermusim setelah puas menyamar kelawar-kelawar tidur siang/ pisang gemuk, kelongsong pecah dari lena yang dalam merupa anting-anting airmata salji pada ranting kemudian tak ada sambil lewa, menyewa sayap-sayap angin melulu ingin serentak benih-benih selamat dalam erat pelukan serat putih bersih, kapas bebas melayah mencari arah singgah. sekali ini bukan kabus di kepala bukit ialah uban-uban salji, kekabu tumpah sepanjang jalan meniti luput pada tusuk rumput atau ranting terbaring garing antara rusuk-rusuk jalan. sekali ini paling tidak kuduga, dahaga dari kafe kampung terhujung, secuil roh espreso mengeluh, segelas matcha latte lambat mengeruh umpama menunggu kita berilusi sekejap lebih lama. untuk kelmarin, barista bertanya, meneka istimewa rasa mendung matcha latte oleh espreso, baru sekarang siap kubancuh jawab: kalau sahaja ada sudi berkongsi setuju, ia semirip salji gebu kekabu, belum pun jadi inti sarung bantal, aku cukup tahu betapa kelak empuk mimpi-mimpi baharu.

 

Fadhilah Ad Deen

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.