ad
AGENDA

PM: Elak perguna isu agama untuk politik, kepentingan peribadi

7 Mac 2025, 9:00 AM
PM: Elak perguna isu agama untuk politik, kepentingan peribadi
PM: Elak perguna isu agama untuk politik, kepentingan peribadi

BANGI, 7 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada pemimpin dan ahli politik agar tidak mempergunakan isu agama sebagai senjata politik demi kepentingan peribadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa amalan sedemikian jika tidak dihentikan, boleh membawa kepada perpecahan kaum.

"Jika kita teruskan, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat. Namun, pendirian kerajaan jelas dan tegas. Penghinaan terhadap manusia dan agama tidak boleh diterima, apatah lagi dalam negara kita.

"Saya ingin memberi peringatan, jangan gunakan agama sebagai senjata politik," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, di sini, hari ini.

Anwar turut menekankan bahawa sebarang pandangan berkaitan agama harus disampaikan melalui saluran betul serta mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

[caption id="attachment_690402" align="aligncenter" width="1002"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama kanak-kanak ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, Bangi pada 7 Mac 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]

“Ini bulan Ramadan, hari Jumaat yang mulia. Siapa melanggar, dia perlu ikut jalur hukum,” katanya sambil mengajak umat Islam menghormati bulan Ramadan yang mulia ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang menghina agama kerana perbuatan itu boleh memecahbelah perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

"Islam adalah agama Persekutuan yang kita martabatkan, tetapi pada masa sama, kita juga perlu menjaga keharmonian," katanya.

Peringatan itu, susulan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan kenyataan berbaur provokasi, penghinaan, dan mempermainkan agama di media sosial, termasuk dalam kalangan ahli politik.

Dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri semalam, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman serta menanam bibit kebencian dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut menggesa rakyat agar tidak menyebarkan kenyataan provokatif dan menghina agama lain, sambil mengingatkan mereka mengenai kesan buruk perbuatan itu terhadap keharmonian negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.