ad
AGENDA

Lelaki disyaki keluar kata-kata kesat terhadap agama Islam di luar negara

7 Mac 2025, 8:07 AM
Lelaki disyaki keluar kata-kata kesat terhadap agama Islam di luar negara

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Lelaki yang disyaki menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam dipercayai berada di luar negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Namun kita percaya dia berada di luar negara," katanya ringkas.

Semalam, Razarudin berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu yang memuat naik video tular di laman sosial sejak Rabu yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.

Beliau berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, petang Rabu.

Video itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina umat agama Islam, dipercayai dihasilkan susulan isu melibatkan penyampai radio yang didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu, namun telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.