ad
BERITA UTAMA

Pengumpulan al-Quran zaman Rasulullah, malaikat semak bacaan setiap malam Ramadan

7 Mac 2025, 4:00 AM
Pengumpulan al-Quran zaman Rasulullah, malaikat semak bacaan setiap malam Ramadan
Pengumpulan al-Quran zaman Rasulullah, malaikat semak bacaan setiap malam Ramadan

Pengumpulan al-Quran kadangkala digunakan dengan menghafaznya, seperti firman Allah dalam ayat ke-17, Surah al-Qiyamah: “Sesungguhnya Kamilah yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannya”

Kadangkala, ia berbentuk penulisan pada lembaran; sama ada berbentuk ayat-ayat dan surah yang terpisah atau susunan beberapa ayat yang bersusun; atau ayat dan surah yang tersusun dalam lembaran terkumpul atau menghimpunkan beberapa surah dengan susunan yang ditetapkan.

Rasulullah SAW insan pertama menghafaz al-Quran. Ini juga dipermudah dalam kalangan sebilangan sahabat yang dikenali sebagai qari. Riwayat menunjukkan bilangan mereka bukan sedikit, sebagaimana dikhabar dalam peristiwa Bi’r Ma‘unah, seramai 70 penghafaz al-Quran terbunuh.

Kalangan sahabat yang terkenal dengan hafazan ialah Abdullah bin Mas‘ud, Salim bin Ma‘qil (bekas hamba Abu Hudzaifah), Mu‘az bin Jabal, Ubay bin Ka‘ab, Zaid bin Thabit, Abu Zaid (Ibnu al-Sakan), dan Abu al-Darda’. Nama-nama mereka disebut dalam Sahih al-Bukhari.

Kelompok sahabat yang terkenal sebagai guru yang mengajar al-Quran adalah Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka‘ab, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Mas‘ud dan Abu Musa al-Asy’ari.

Beberapa orang sahabat membaca al-Quran sesama mereka dan ramai kalangan tabi‘in mengambil bacaan daripada mereka. Ketika itu, penyampaian al-Quran bergantung sepenuhnya kepada hafalan di dalam hati dan dada.

[caption id="attachment_690341" align="aligncenter" width="680"] Antara orang ramai yang hadir pada Festival Cahaya atas Cahaya di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya pada 13 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Kaum Arab pada zaman itu secara fitrahnya memiliki daya ingatan kuat. Mereka menggantikan kekurangan dalam tulisan dengan menghafaz sejarah, syair dan salasilah mereka dalam ingatan.

Menghafaz al-Quran antara keistimewaan dan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada umat ini.

Pengumpulan al-Quran dalam maksud penulisan iaitu makna kedua bagi pengumpulan, maka perbincangan kita di sini terbatas kepada penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah SAW yang dikenali sebagai pengumpulan pertama.

Rasulullah SAW melantik beberapa sahabat sebagai penulis wahyu antaranya empat Khalifah ar-Rasyidin, Mu‘awiyah bin Abi Sufyan, Zaid bin Thabit, Ubay bin Ka‘ab, Khalid bin al-Walid, dan Thabit bin Qais.

Apabila ayat diturunkan, Baginda memerintahkan mereka menulisnya dan menunjukkan kedudukannya dalam surah berkaitan. Sebahagian sahabat menulis ayat-ayat atas inisiatif sendiri tanpa menunggu perintah nabi. Dengan ini, tulisan menjadi pelengkap kepada hafalan dalam dada.

Mereka menyimpan catatan al-Quran dalam pelbagai bahan antaranya pelepah tamar (al-‘usub), batu nipis atau kepingan tulang (al-likhaf), Pelepah kurma yang dikeringkan (al-karanif), kertas atau kulit (al-riqa‘), kayu pelana (al-aqtab) dan potongan kulit haiwan (al-adim).

Setiap tahun dalam malam-malam Ramadan, malaikat Jibril menyemak bacaan al-Quran bersama Rasulullah SAW. Para sahabat juga menyemak bacaan dengan Baginda baik melalui hafalan mahupun tulisan.

Namun, penulisan al-Quran ketika itu belum dikumpulkan dalam satu mushaf yang lengkap. Setiap sahabat memiliki sebahagian ayat dan surah yang tidak semestinya dimiliki sahabat lain. Segala yang ditulis disimpan di rumah Rasulullah SAW dan penulis wahyu ada salinan untuk diri sendiri.

Para ulama meriwayatkan beberapa orang sahabat mengumpulkan al-Quran secara keseluruhan pada zaman Rasulullah SAW antaranya Ali bin Abi Talib, Mu‘az bin Jabal, Ubay bin Ka‘ab, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Mas‘ud. Namun, Zaid bin Thabit yang terakhir mempersembah bacaannya berbanding yang lain.

Rasulullah SAW wafat dalam keadaan al-Quran terpelihara di dalam dada para sahabat dan ditulis mengikut susunan yang ada pada mushaf kita hari ini iaitu berdasarkan petunjuk wahyu (tawqifi).

Bermakna, sebelum Rasulullah SAW wafat, Jibril membimbing Baginda dalam susunan dan memberitahu nabi setiap kali ayat diturunkan bahawa ayat tersebut harus ditulis selepas ayat tertentu dalam surah tertentu.

Namun, al-Quran belum dikumpulkan dalam satu mushaf lengkap kerana wahyu masih diturunkan. Para qari menghafalnya sementara para penulis mencatatnya. Ketika itu, belum ada keperluan untuk menghimpunkannya dalam satu mushaf.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.