ad
AGENDA

Agong berangkat ke majlis buka puasa bersama PM, jemaah menteri

6 Mac 2025, 3:00 PM
Agong berangkat ke majlis buka puasa bersama PM, jemaah menteri

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara di sini, malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, serta timbalan-timbalan menteri.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta perwakilan asing antaranya dari Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seri Paduka Baginda turut menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah bersama tetamu jemputan yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, di Surau Utama Istana Negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.