SHAH ALAM, 6 MAC: Konsep tawakal selepas berusaha dan berikhtiar merupakan kekuatan umat Islam yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Pengarah Akademi Pemikiran Turath Ustaz Faiz Fateh Al Azhari berkata ayat kelima Surah Al-Fatihah menjelaskan Allah mengajar manusia untuk bermunajat dan menzahirkan kehambaan.
“Kalimah ibadat ini ramai yang hanya faham ia adalah sembahyang semata-mata tetapi sebenarnya tidak. Ibadat itu maknanya kehambaan, ketundukan kita kepada Allah.
“Kita serba-serbi lemah dan perlu memohon pertolongan Allah. Dan inilah yang menjurus kepada konsep tawakal,” katanya menerusi program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.
Dalam pada itu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak umat Islam terus berusaha mendekatkan diri kepada Allah serta melakukan amalan baik sepanjang masa.
“Marilah kita terus berikhtiar mendekatkan diri kepada Allah, melakukan amalan baik dan memohon pertolongan agar setiap urusan kita dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, episod kelima surah berkenaan dibacakan qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.
Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah sejak 1 Ramadan dimulai dengan mengupas Surah Al-Fatihah.
[embed]https://twitter.com/AmirudinShari/status/1897543075620380780[/embed]