ad
AGENDA

80 pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

6 Mac 2025, 12:21 PM
80 pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 80 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seri Kembangan, Selangor malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor Khairul Aminus Kamaruddin berkata mereka terdiri lima lelaki dan 75 wanita berusia lingkungan 17 hingga 45 tahun dan merupakan warga Bangladesh, Laos, Thailand serta Vietnam.

“Mereka dipercayai bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan itu dan semasa soal siasat, ada cuba menyamar teman wanita kepada pengunjung pusat hiburan warga tempatan, namun taktik itu tidak berhasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Op Gegar bermula 10.30 malam itu dilaksanakan selepas risikan dilakukan selama dua minggu susulan aduan orang ramai mengenai kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.

Kesemuanya dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Seksen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.