SHAH ALAM, 6 MAC: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan segera terhadap mangsa kejadian ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang pagi tadi.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan bantuan turut diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 bagi penggantian bumbung yang bermula esok.
“Rentetan ribut kuat yang berlaku pagi tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan saya turun padang bagi melihat kesan ribut dan memberi bantuan segera yang boleh dilaksanakan kepada mangsa terlibat.
[caption id="attachment_690271" align="aligncenter" width="1021"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) melawat rumah yang dilanda ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang pada 6 Mac 2025. Foto Facebook Ahmad Azri[/caption]
“Saya terus ke destinasi pertama di SK Parit 4 dan mendapati ada kerosakan struktur bumbung di bangunan sekolah, kuarters guru, kantin dan garaj kereta. Menerusi Yayasan MBI, penyelesaian segera dengan mengganti bumbung akan dilaksanakan bermula pagi esok.
“Kemudiannya saya melawat beberapa rumah mangsa ribut di lokasi sama, bantuan segera akan disalurkan bersama koordinasi Pejabat Penyelaras DUN Sungai Burong Maruwan Ahmad,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berharp bantuan itu memberi sedikit kelegaan kepada mangsa terlibat.
Terdahulu, lapan rumah rosak akibat ribut kencang di Parit 4, Sungai Burong pagi tadi, bagaimanapun tiada mangsa cedera atau maut dalam kejadian jam 7.30 pagi itu.
Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada semua mangsa yang kediamannya mengalami rosak teruk.
[caption id="attachment_690272" align="aligncenter" width="977"] Antara rumah yang rosak dibadai ribut dalam kejadian pada 6 Mac 2025 di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang. Foto Facebook Ahmad Azri[/caption]
[caption id="attachment_690273" align="aligncenter" width="1108"] Keadaan salah sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 Sungai Burong, Tanjong Karang yang dilanda ribut dalam kejadian pada 6 Mac 2025. Foto Facebook Ahmad Azri[/caption]