ad
AGENDA

Ahli ekonomi: Kadar OPR dijangka kekal 3.0 peratus

6 Mac 2025, 5:19 AM
Ahli ekonomi: Kadar OPR dijangka kekal 3.0 peratus

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus ketika mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, dalam persekitaran kadar faedah yang stabil, kata ahli ekonomi.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata persekitaran kadar faedah yang stabil menyokong ekonomi untuk berkembang dengan memberikan perniagaan dan pengguna kepastian yang lebih dalam merancang kewangan dan mengakses kredit.

"Kos pinjaman yang stabil mengekalkan pelaburan modal, mengurangkan turun naik yang berlebihan dalam pembayaran hutang isi rumah, dan memastikan keseimbangan optimum antara pertumbuhan dan kawalan inflasi," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga menjangka MPC akan mengekalkan kadar OPR tanpa sebarang perubahan.

Beliau berkata keputusan itu mungkin berdasarkan kepada jangkaan pelarasan dasar untuk subsidi bahan api, khususnya harga petrol RON95 yang dijangka direalisasikan pada pertengahan tahun.

"Kami percaya BNM mungkin mahu menilai dinamik inflasi untuk menentukan sama ada pendirian monetari semasa dapat mengekalkan jangkaan inflasi dengan berkesan.

"Pada masa sama, pertumbuhan berisiko untuk menurun masih wujud, terutamanya memandangkan sifat gangguan pentadbiran Donald Trump yang berpotensi melemahkan pertumbuhan global," katanya.

Mohd Afzanizam berkata mengekalkan OPR akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi sambil mengawal risiko inflasi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.