ad
AGENDA

Malaysia tegas tentang usaha pindah paksa rakyat Palestin di OIC

6 Mac 2025, 4:41 AM
Malaysia tegas tentang usaha pindah paksa rakyat Palestin di OIC

PUTRAJAYA, 6 MAC: Malaysia akan menegaskan tentangannya terhadap cadangan pengilhakan Gaza atau usaha memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan secara paksa ketika sesi tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendirian itu akan dibangkitkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijadual menghadiri mesyuarat itu di Jeddah, Arab Saudi pada 7 Mac.

Sesi itu akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka.

Selain itu, Mohamad juga akan menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.

"Penyertaan menteri luar ke sesi tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut kenyataan kementerian itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.