ad
AGENDA

Keterangkuman diutamakan, pastikan 'kek' ekonomi dikongsi secara adil

6 Mac 2025, 12:16 AM
Keterangkuman diutamakan, pastikan 'kek' ekonomi dikongsi secara adil

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kerajaan sentiasa menitikberatkan elemen keterangkuman dengan memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat dan mendapat faedah daripada agihan 'kek' ekonomi atau manfaat pembangunan negara.

Menurut Kementerian Ekonomi, antara inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan agihan 'kek' ekonomi negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh masyarakat termasuklah menggalakkan pelaburan dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra pelabur dan merangsang pelaburan swasta.

"Kerajaan turut melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Belanjawan 2025, bagi mencipta lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

"Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang melengkapi program pembasmian kemiskinan melalui pelbagai kementerian dan agensi juga dilaksanakan dengan menyediakan ekosistem dan bantuan modal kepada peserta bagi menyokong dan menggalakkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara semalam.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar berkenaan usaha ke arah pembesaran 'kek' ekonomi negara supaya dapat dinikmati secara adil oleh segenap lapisan masyarakat, tanpa dimonopoli oleh golongan tertentu.

Selain itu, kementerian berkenaan berkata kerajaan juga memperkenalkan dasar gaji yang lebih holistik, seperti pelaksanaan gaji progresif dan kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan boleh guna bersih rakyat.

Katanya kerajaan turut memberi bantuan tunai kepada kumpulan sasar berpendapatan rendah dan sederhana yang berkelayakan serta mempergiatkan inisiatif Payung Rahmah untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli rakyat dapat dikekalkan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.