SHAH ALAM, 5 MAC: Digantung persekolahan 14 hari atau dibuang antara tindakan yang bakal diambil terhadap pelajar yang membuat kesalahan berulang menghisap rokok elektronik dalam kawasan sekolah.
Menteri pendidikan berkata tindakan tegas itu bagi membendung isu penggunaan rokok elektronik di sekolah seperti ditetapkan dalam Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015, lapor Berita Harian.
Fadhlina Sidek menjelaskan langkah itu diambil selepas amaran diberikan kepada pelajar berkenaan, termasuk memanggil ibu bapa mereka menghadiri sesi perundingan dan melengkapkan borang aku janji.
"Sekiranya masih ingkar dan mengulangi perbuatan ini, mereka boleh digantung sekolah yang tidak membabitkan peperiksaan awam dan ketegasan kita sehingga tahap boleh dibuang sekolah.
"Kita menganggap tindakan melibatkan diri dengan gejala rokok elektronik sangat serius," katanya menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Menurut Fadhlina, pendidikan pencegahan antara usaha paling berkesan untuk mengawal penularan isu tersebut, yang dilaksana melalui kurikulum, kokurikulum dan aktiviti pembangunan sahsiah.
Menerusinya, beliau menjelaskan pelajar akan didedahkan kepada bahaya rokok elektronik, selain dilatih untuk menjadi duta sahsiah yang membantu rakan sebaya menjauhi gejala negatif.
"Semua program dan aktiviti ini bermatlamat untuk menerapkan nilai kesedaran serta kefahaman murid bahaya rokok elektronik serta membentuk jati diri yang unggul," katanya.