Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, 53, mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baharu pada 6 Februari, menggantikan Dato’ Setia Haris Kasim yang bersara.
Memulakan perkhidmatan sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD) pada 1996 dan pernah bertugas di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebagai ketua Kluster Pembangunan Pengurusan dan Inovasi.
Beliau juga menyandang jawatan pengurus besar Yayasan Perak antara 2012 hingga 2014 sebelum memangku jawatan presiden dan ketua pegawai eksekutif Islamic Aid Malaysia (IAM).
Pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu dilantik sebagai pegawai kewangan negeri sejak 2021.
Beliau juga berkhidmat sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (kini Majlis Bandaraya Diraja Klang) pada April 2020.
Pengarang Kumpulan Digital Media Selangor Khairulnizam Bakeri menelusuri pengalaman dan perancangan Dr Ahmad Fadzli dalam wawancara pada 25 Februari.
Bagaimana pengalaman Dato’ berkhidmat dalam enam institusi berbeza?
Kalau fikir balik, rasa ada 13 penempatan. Kalau macam pengurus besar Yayasan Perak, ia lebih kepada elemen pendidikan tetapi biasalah mana-mana yayasan pun duit tidak cukup.
Jadi, kena ada pelaburan. Di situlah menariknya. Mula-mula masuk Intan, rasa beku sekejap sebab Yayasan Perak ada elemen pelaburan dan pengurusan tetapi Intan pula elemen latihan.
Kita mahu ‘pandu’ atau kalau nombor dua, kita hendak bantu bos ‘pandu’ tetapi di Intan, cuma latihan. Tetapi cabarannya kandungan (Intan) itu. Kita tidak mahu beri kursus tetapi di luar, (jadi) hasil berbeza.
Pada zaman saya, isu etika dan integriti yang dikuliah lain tetapi di luar berbeza. Begitu juga di Institut Integriti. Mula-mula, ingatkan pengurusan sahaja tetapi ketua hantar latihan di Budapest, Hungary pada 2016. Apabila balik, buat modul latihan.
Dato’ masuk pada titik kritikal. Umpamanya Klang ketika Covid-19 memuncak. Jadi pegawai kewangan negeri selepas pandemik baru berakhir. Hendak pacu ekonomi, kembalikan peluang kerja. Itu pastinya mencabar dan sukar
Memang mencabar tetapi saya ini lain sedikitlah. Lagi susah, lagi hendak buat. Semasa di Klang, kita tutup kilang, semak kepatuhan syarat, pekerja asingnya, ikut atau tidak syarat dan isu Top Glove bukan sedikit.
Banyak sampai kena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (tetapi) orang awam ikut jalan tikus. Itu semua ada rencamnya sebab angka Covid-19 di Selangor tinggi. Ribu-ribu.
Semasa di perbendaharaan, saya tengok angka. Saya obses dengan angka. Saya fikir macam mana mahu capai kapasiti maksimum. Angka tidak tipu. Kita kejar tetapi kalau tidak dapat, tidak apa.
[caption id="attachment_689984" align="aligncenter" width="799"] Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato' Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin ketika Bicara Semasa Dari PTD ke SUK: Nakhoda Pentadbiran Selangor di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 17 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Yang penting, kita usaha dan bina keyakinan. Pegawai bawahan pun macam-macam, ada okey, yang tidak okey, kena motivasi. Yang perlu ambil tindakan, ambil tindakan sebab semua mata memandang. Kita mahu konsistensi.
Apa pun kita buat, masalah ada banyak. Penyelesaiannya apa? Kadang-kadang jadi macam (lagu) bangau oh bangau. Salah ini, salah itu tetapi tidak selesai-selesai, 15 tahun, 20 tahun. Tidak boleh. Kita sebahagian dari sistem. Takkan biar masalah macam itu (tidak selesai).
Dato’ memulakan karier sebagai PTD, sekarang Setiausaha Kerajaan Negeri, jadi macam mana boleh sampai ke PTD? Adakah sejak kecil lagi?
Orang tua hantar saya ke sekolah agama, kemudian Universiti Islam Antarabangsa. Orang tua mahu saya menjadi ustaz. Saya tiada masalah buka kitab untuk belajar tetapi untuk mengajar, rasa tidak sampai (mampu). Saya sambung belajar. Diringkaskan cerita, perjalanan saya mula dari situ.
Semasa tinggal dengan bapa saudara, saya obses dengan buku Management Mills and Miller. Istilahnya, saya jatuh cintalah. Selepas itu, buat MBA (sarjana pentadbiran perniagaan). Saya kena buka semua bab ekonomi, keluk-keluk ekonomi.
Masa itu, rasa cukuplah. Tidak mahu sambung lagi. Kertas pelaburan, saya kata inilah kertas terakhir. Masalahnya, habis (pengajian) tidak sampai setahun. Apabila bekerja, tengok kertas-kertas kerja menyebabkan kita tahu ada sesuatu tidak cukup. Bila tidak cukup, kita mencari.
Dalam konteks ini, kita hendak selesaikan isu, masalah banyak. Macam mana hendak kawal perubahan? Bagaimana mahu wujudkan sokongan? Itu kena susun dan kita tidak mahu strategi semalam (lama). Perlu sesuatu yang segar, itu memberi cabaran.
Pasti Dato’ ada pengalaman tersendiri dengan Dato’ Menteri Besar. Bagaimana Dato’ melihat pendekatan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam mentadbir negeri?
Dulu, kita rasa orang senior tahu banyak, orang muda tahu sedikit. Itu persepsi. Di Selangor, saya tengok Dato’ Menteri Besar dengan umur macam itu, dia hadam banyak perkara, banyak isu dan agresif serta cepat.
Cabarannya macam mana hendak ikut rentak Dato’ Menteri Besar. Agenda banyak. Hendak terus bergerak, kita mahu bantu terjemah agenda pembangunan, itu banyak.
Menariknya, Dato’ Menteri Besar sedia mendengar. Saya nampak ada kerjasama, senang bincang. Hendak kata garang, tidaklah. Cuma apa dia cakap, kena fahamlah.
Ini diam, diam boleh datang kemudian. Macam isu banjir, itu tidak boleh (diam). Isu banjir 2021, banyak kita bantu orang, memang cepat.
Dinamiknya di situ. Kalau tenang, kita pun tenang. Tetapi kalau (berlaku) krisis, membabitkan nyawa, dia (Dato’ Menteri Besar) tidak boleh tunggu, kena cepat bertindak. Itu saya nampak.
Saya rasa Dato’ Menteri Besar boleh pergi jauh dalam konteks politik. Cuma politik di Malaysia macam-macam. Kita tidak tahu.
Posisi Selangor unik berbanding negeri lain. Sebagai mini Malaysia yang menjadi pusat pelaburan ekonomi, budaya dan sosial yang jutaan rakyat dari seluruh negara ke sini mencari rezeki dan membina kehidupan, mereka ada jangkaan sendiri. Sekarang kita ada Setiausaha Kerajaan Negeri baharu. Pada hemat Dato’, ke mana hendak bawa Selangor?
Saya kena bawa jentera pentadbiran ini beri sokongan kepada kerajaan sedia ada. Apa perkara besar? Kerangka besarnya bagaimana hendak perbaiki sistem penyampaian keseluruhan.
Kita tengok aduan, saya ingat dalam 70,000 ada. Klang sahaja saya kira 2.4 minit satu aduan. Satu tahun, ada 13,000 hingga 15,000 aduan. Itu Klang sahaja. Jadi, macam mana kita hendak bantu.
Sebab penyelesaian kita ‘adhoc’. Kita tidak balik kepada dasar. Ada isu berulang. Jalan berlubang, berapa banyak? Mula-mula taman A, taman B, taman C, taman D.
Jadi, boleh tidak kita lihat perspektif lain? Boleh atau tidak kita lihat, adakah jalan ini sudah tidak boleh turap sekian-sekian milimeter, kena tebal lagikah? Atau guna teknologi? Kita tengok di situ. Kita kena perhalusi.
Saya sentiasa melihat ke depan, perancangan senario. Untuk kita adun supaya sekurang-kurangnya sebahagian (isu) dari yang sedia ada boleh digerakkan ke depan. Satu lagi perkara besar, ‘behavior change’ (perubahan sikap).
Kita hendak ubah manusia, ada kena ketuk dan macam-macam. Ini sebab nawaitu. Nawaitu itu datang. Apa maksud jadi penjawat awam di Selangor dengan jangkaan tinggi, dengan aduan macam ini. Kita ada teknologi tetapi kalau (manusia) tidak berubah, susah.
Kita hendak pandu tetapi tengok kes integriti pun boleh tahan. Kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun boleh tahan. Sebelah tangan buat, sebelah sini masuk (poket sendiri). Tidak boleh. Ini semua cabaran yang kita hendak selesaikan dalam tempoh terdekat.
Macam mana kerangka hendak dibina? Kita mahu beri naratif selesa tetapi ini cabaran dan ya, KPI kita capai tetapi kita tidak boleh selesa. Ini Selangor, tidak membenarkan kita selesa.
Kita kena perbaiki, kena cari. Walaupun sikit tetapi sekurang-kurangnya kita bergerak sebab kita bekerja, kita bantu. Suatu hari nanti, kita duduk jadi orang awam.
Hari ini kita kerja, masa jadi orang awam baru kita tengok. Kenapa aku tidak buat ini? Kenapa aku tidak buat itu? Masa itu menyesal. Masa itu baru kita rasa keluhan itu.
Kadang-kadang sangkut lama. Kadang-kadang tidak selesai masalah. Penyelesaian tidak ada. Tidak boleh begitu. Itu yang jadi ribuan masalah. Hendak selesai, kena hadap, kena ada penyelesaian.
Kita kena kerja. Sama ada buat polisi baharu. Dari segi premium, bayar tinggi dan macam-macam lagi. Pejabat tanah sebagainya. Macam-macam bayaran dan sebagainya. Jadi kita kena ‘deliver’ sebab mahu sokong agenda nasional.
Kita cakap agenda lebih tinggi, antarabangsa dan perniagaan tetapi peringkat bawah cuma pertunjukan strategi. Depan kita bersolek cantik tetapi di rumah kita bersepah. Kita hendak macam itukah?
Kita mahu konsisten. Kita nampak selangkah demi selangkah ada perubahan. Kita tidak janjikan keterlaluan tetapi sekurang-kurangnya, dengan sedikit perubahan, kita ke arah lebih baik.
Banyak dasar diumumkan dalam beberapa siri ucapan termasuk belanjawan. Rancangan Selangor Pertama (RS-1) misalnya yang melalui Kajian Separuh Penggal dan RS-2 sedang dilaksanakan. Boleh Dato’ kongsi perkembangannya?
Umumnya, RS-1 sehingga Disember 2024, pencapaiannya 72.46 peratus. Maknanya, dalam empat tema strategik iaitu pengukuhan ekonomi, pemacuan kelestarian, tadbir urus smart dan pertingkatkan inklusif sosial, kesejahteraan rakyat. Cuma kita juga ada 282 projek, program dan inisiatif.
Cuma dari segi usaha itu baik, bagus. Tinggal lagi ada perkara yang perlu kita perhati dan Dato’ Menteri Besar pun cakap, ini nampak macam ‘top-down’ (pengurusan dari atas ke bawah).
‘Top-down’ sebab pada masa itu kita perlu sesuatu untuk bantu rancangan pada peringkat persekutuan. Kemudian RS-2 adalah Dato’ Menteri Besar mahu ‘bottom-up’ (pengurusan dari bawah ke atas).
[caption id="attachment_676397" align="aligncenter" width="796"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena sesi perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Maksudnya, kita tidak mahu bercakap pasal negeri pendapatan perkapita yang tinggi tetapi jurang pendapatan paling rendah dan yang paling tinggi, jurangnya makin besar.
Sebab kuasa membeli, pendapatan menengah di Selangor kalau tidak silap, RM9,940. Apa maknanya 9940? Maksudnya rumah teres bertanah antara RM600,000 hingga RM800,000.
Siapa yang boleh beli? Orang yang berpendapatan RM8,000. Pendapatan keluarga RM8,000 sebulan.
Berapa tahun bekerja baru dapat RM8,000? Maknanya, kalau bukan dalam kumpulan itu, mereka akan jadi B40. Inilah yang kita tidak mahu lagi, kita hendak ke depan.
Apa maknanya kita ada pelbagai rancangan yang akhirnya tidak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
Juga projek-projek mega. Biasanya ada penyusunan cuma dari segi apa yang menyebabkan kelewatan dan sebagainya. Ini semua kena dilihat dalam portfolio berkenaan. Umum, ada agenda, itu bagus. Cuma perlu perkemaskan. Dimantapkan.
Lembah Klang Raya salah satu projek sosial-ekonomi terbesar di negara sebab belum ada lagi setakat ini. Bagaimana Dato’ melihat projek ini?
Cabaran ini cabaran baharu. Katakanlah, permohonan kebenaran merancang, sama atau tidak? Kalau tidak sama, kita kena samakan. Kemudian, kawasan yang hampir tempoh pajakan macam Petaling Jaya. Katakan tanah ini pulang balik kepada kerajaan ataupun kita caj premium berbeza, nanti orang marah.
Petaling Jaya ini zaman bila? Ini cabarannya. Kalau di Jepun, Osaka tanah rizab kereta api tetapi kawasan itu membangun sebab tanah kerajaan tetapi kalau tanah (milik) orang (perseorangan), apa model hendak dipakai?
Ini yang kita kena fikir. Begitu juga Subang Jaya. Dan yang pening-pening kepala adalah Klang, isu sampah tidak habis-habis.
Tetapi pandang positif bagaimana pada 2025 hendak selesaikan masalah semalam. Adakah gunakan kerangka semalam atau kita fikir kerangka baharu.
Contoh isu sampah, apa yang kita tidak buat? Kita tambah kutipan, tambah lori sampah, tambah kakitangan pihak berkuasa tempatan tetapi orang masih buat sampah haram, ubah suai rumah, sampah semua hala ke pihak bandar raya.
Biasanya Klang jadi mangsa sebab (terletak) di sempadan, antara Shah Alam dan Klang. Jadi, macam mana? Sebab orang macam inilah. Ada macam-macam dengan kepelbagaian.
Kalau kita tahan lori (sahaja), tidak selesai masalah. Dalam keadaan sekarang, kerajaan hendak buat apa? Itu yang kita agak pening tetapi cabarannya di situ.
Kita bercakap pasal negeri maju tetapi dari segi sivik, dari segi kesedaran, dia bukan warganegara yang baik. Yang pentingnya, mananya yang kita cakap Selangor Penyayang? Biarpun tidak sempurna tetapi mungkin kita boleh kata inilah modul yang ada jiwa, boleh sentuh hati rakyat.
Kalau tidak, kita bercakap pasal pembangunan, negeri maju tetapi orang kita kena ubah. Kena seiring. Kita buat ini berjayakah? Kita pun tidak tahu tetapi kalau kita tak buat, siapa hendak buat?
Kalau kita buat, mungkin berjaya, mungkin tidak, mungkin sebahagian tetapi kalau tidak buat, apa maknanya? Kita masih cara lamalah. Adakah kita mahu bergantung kaedah lama?
Secara peribadi, saya rasa malu apabila Dato’ Menteri Besar umum Bantuan Khas Kewangan, bonus dan sebagainya tetapi kita rasa boleh buat lebih baik tetapi tidak sampai.
Pergilah seluruh negara, dari segi penjawat awam, Selangor terbaik. Bagaimana Kerajaan Negeri melayan penjawat awam dengan bantuan dan sebagainya tetapi kita harapkan profesionalisme yang tinggilah. Semua ada, kerjalah sebaik mungkin.
[caption id="attachment_634279" align="aligncenter" width="706"] Penjawat awam mendengar ucapan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Menarik pesanan Dato’ tentang makna menjadi penjawat awam. Kalau boleh jawab soalan itu, bolehlah mereka berkhidmat dengan baik. Bagi Dato’ sendiri, apakah jawapan kepada soalan ini?
Betulkan niat. Semalam itu semalamlah. Kita manusia ada turun naik tetapi semalam itu kita tinggal, letak azam baharu dan teruskan. Kalau ini dakwah, kita dakwah diri sendiri. Yang jawab dalam kubur apa yang kita buat di dunia, inilah salah satunya.
Satu hari lapan jam kita di pejabat. Maknanya kalau kerja sampai umur 60 tahun, banyak masa habis di tempat kerja. Semoga apa yang kita buat jadi amal jariah. Yang kita tolong orang, buat seikhlas hati.
Arwah orang tua saya berpesan, yang milik kamu itu kamu punya. Yang bukan milik kamu tetap bukan milik kamu. Lama saya fikir apa maknanya. Kita kerja, gaji dan elaun kita punya tetapi ada perkara contohnya, kita jaga perolehan, itu bukan kita punya.
Kalau bukan hak kita, janganlah (ambil). Tuhan rezekikan gaji dan elaun pakailah tetapi yang bukan kita punya jangan sebab nanti kalau Tuhan ambil, kita tidak tahu Dia ambil apa, kesihatan, anak-anak atau apa. Ini tidak kena (kita) tidak tahu tetapi bila sudah jadi, baru tahu.
Pernah dalam minggu integriti, saya tanya penguat kuasa, kenapa mereka suka ‘pau’ orang? Mereka jawab, gaya hidup. Bila tengok jiran tukar langsir, dia ikut, memang tidak habis. Rezeki boleh cari tetapi tamak tiada ubat.