SHAH ALAM, 6 MAC: Tiga penyampai radio (DJ) Era FM antara enam individu dipanggil ke Bukit Aman hari ini berhubung siasatan dakwaan mempersenda upacara agama Hindu, lapor Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, mereka dijadual hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi ini, dengan 44 laporan diterima di seluruh negara.
"Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media semalam melaporkan polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung rakaman video yang tular di media sosial, yang didakwa mempersenda upacara agama lain.
Video berkenaan yang diturunkan daripada media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut 'vel vel' disusuli gelak tawa rakan lain
Semalam, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersenda tarian kavadi penganut Hindu.