ad
AGENDA

Amirudin: Perkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan pembuat dasar negara

4 Mac 2025, 10:36 AM
Amirudin: Perkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan pembuat dasar negara

SHAH ALAM, 4 MAC: Langkah menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 akan mengukuhkan kedudukan institusi tersebut sebagai pembuat dasar negara, kata Ahli Parlimen Gombak.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia pernah dibangkitkan beliau ketika kali pertama berucap sebagai Ahli Parlimen pada 20 Februari 2023, yang menggesa akta itu dikembalikan seperti sebelum 1992 untuk memastikan Parlimen terus dihormati.

"Ini permulaan yang baik kepada Parlimen untuk menetapkan dasar dan hala tujunya sendiri. Kita bermula dengan Majlis Perkhidmatan Parlimen. Komitmen dinyatakan oleh Perdana Menteri untuk menetapkan adanya dwifungsi.

"Selain itu, pengurusan Parlimen dapat dikawal sepenuhnya oleh speaker yang turut dilibatkan wakil pembangkang. Saya percaya selepas ini boleh dikembangkan kepada peraturan tetap seperti kewangan, penyelidikan dan banyak perkara lain.

"Kerajaan juga perlu menetapkan kos perjalanan Parlimen. Sekarang tiada peruntukan atau dana yang jelas untuk mentadbir, mengurus atau membawa ahli jawatankuasa bertemu dengan perwakilan luar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin mencadangkan Majlis Perkhidmatan Parlimen menjemput ahli pendidikan serta bekas speker dan ahli parlimen sebagai pakar rujuk.

"Saya percaya majlis ini boleh berkembang kepada pembuat dasar serta perancang untuk menjaga Ahli Parlimen. Saya juga berharap majlis ini melibatkan suara dari negeri. Saya sambut baik jika senator Dewan Negara dilibat sama," katanya.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Kerajaan juga bersetuju untuk melantik dua Ahli Dewan Negara dan empat Ahli Parlimen termasuk dua wakil pembangkang ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi menambah baik keanggotaannya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.