KOTA BHARU, 4 MAC: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 23 pokok bonsai hitam, bernilai kira-kira RM2.1 juta selepas menahan dua buah lori di Kampung Kedap dan Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dua lelaki tempatan berusia 25 dan 30 tahun yang merupakan pemandu lori, turut ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar tanaman itu ke pasaran tempatan.
“Dua lori yang mencurigakan itu ditahan antara jam 10 hingga 11 malam menerusi Op Taring Wawasan. Hasil pemeriksaan menemukan lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 23 pokok bonsai hitam yang dipercayai diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros berkata kes disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA