SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan tiada perancangan untuk melaksanakan ujian air kencing sebagai salah satu syarat atau garis panduan pelaksanaan konsert pada masa ini, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, menteri komunikasi berkata kerajaan bersedia meneliti cadangan dan perubahan tatacara operasi piawai (SOP) dari semasa ke semasa, dengan berbincang bersama pihak berkaitan.
Menurut Fahmi Fadzil, terdapat garis panduan yang menjadi rujukan ketika ini menerusi Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
"Garis Panduan Puspal disediakan sebagai rujukan penganjur mengenai aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan dalam penganjuran suatu persembahan melibatkan artis luar negara.
"Antaranya penganjur hendaklah mengambil apa-apa langkah yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan bagi memastikan tiada aktiviti berkaitan rokok, minuman keras dan dadah," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan wakil rakyat Sri Gading Aminolhuda Hassan berhubung pelaksanaan ujian air kencing dalam SOP konsert.
Januari lalu, Selangor mengesyorkan ujian air kencing sebagai antara SOP dalam usaha mengelakkan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.
Ia susulan keputusan kes kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim menegaskan cadangan pelaksanaan ujian air kencing sebelum memasuki konsert hanya melibatkan individu yang menimbulkan syak sahaja.