SHAH ALAM, 3 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat lebih RM13 juta daripada enam anak syarikat Kerajaan Negeri, hari ini.
Enam syarikat itu ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM1.9 juta, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (RM3.410 juta) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM1.283 juta).
Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sebanyak RM2.655 juta, Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2.9 juta) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM1.034 juta).
[caption id="attachment_689763" align="aligncenter" width="709"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima serahan replika kunci bas bergerak wakaf daripada pihak perbadanan Wakaf Selangor (PWS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat tersebut ketika berangkat ke Majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Pada majlis sama, Baginda juga berkenan menerima serahan wakaf klinik pergigian bergerak sumbangan Wakaf Selangor Muamalat.
Baginda juga menerima serahan dana Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah hampir RM352,000 khas untuk pembangunan pendidikan disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Dalam majlis yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Baginda juga menyampaikan sumbangan raya kepada 434 asnaf sekitar Petaling melibatkan peruntukan RM217,000z
Sultan Sharafuddin kemudiannya berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak, dan solat sunat tarawih bersama rakyat.
[caption id="attachment_689764" align="aligncenter" width="689"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada asnaf sempena majlis Berbuka Puasa turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]