SHAH ALAM, 3 MAC: Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) mencipta asas kukuh untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong sepanjang tahun, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata TMS2025 bukan sahaja mengenai menarik pelancong pada tahun ini, tetapi terus berkembang sebagai destinasi pelancongan yang relevan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang.
“TMS2025 ini kita nak tunjuk elemen yang mungkin orang tidak selalu kaitkan dengan Selangor, contoh aspek hutan lipur seperti Sungai Chiling dan kawasan rekreasi yang sebenarnya banyak. Kita juga perkenalkan lokasi baharu contohnya Gamuda Splash Mania dan Gamuda Luge Garden di Rawang.
“Selangor ini dulu orang ingat tempat pergi kursus atau seminar saja. Sedangkan banyak tarikan seperti di Bangi dan Shah Alam, pada musim raya ini terkenal dengan jualan atau pilihan fabrik,” katanya selaku tetamu jemputan dalam segmen Teh Tarik, Kopi O terbitan Selangor FM, hari ini.
Menurut Amirudin kepengerusian Asean-Malaysia 2025 juga menjadi peluang strategik memperkenalkan Selangor dengan lebih meluas bukan hanya dari negara Asean tetapi seluruh dunia.
“Sebenarnya sasaran lapan juta pelancong ke Selangor tahun ini agak realistik dengan Malaysia selaku Pengerusi Asean yang mana ia menjadi landasan (menarik pelancong) dengan lebih 800 mesyuarat diadakan sepanjang tahun ini.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di Selangor. Kita akan cuba mengambil peluang untuk mempromosikan Selangor dengan mempergiatkan kegiatan promosi tempat yang menarik bermula di lapangan terbang,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.