PETALING JAYA, 3 MAC: Bandar raya Petaling Jaya sekali lagi diiktiraf sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata pengiktirafan itu adalah hasil kajian di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Tahun lepas kita menerima 28 anugerah dalam dan luar negara termasuk diiktiraf Bandar Paling Bahagia. Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kita terima pengiktirafan ini pada majlis yang akan berlangsung 20 Mac nanti.
“Pengiktirafan ini merangkumi 14 kriteria antaranya alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, infrastruktur dan penduduk berpuas hati dengan kejiranan.
“Diharap dengan pengiktirafan ini menjadi pemacu supaya semua kakitangan terus bekerja lebih keras dan cuba sebaiknya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya.
[caption id="attachment_689739" align="alignleft" width="500"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berucap sempena majlis penyampaian sumbangan bakul Ramadan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 3 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui pada majlis sumbangan bakul Ramadan dan tazkirah bersama kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini. Seramai 2,000 warga kerja MBPJ hari ini menerima sumbangan berbentuk keperluan harian.
Memperuntuk RM105,100 untuk program bakul makanan Ramadan yang dilaksana sejak 2007, Mohamad Zahri menjelaskan sumbangan itu bukan sahaja tanda penghargaan tetapi keprihatinan kepada kakitangan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik, pihaknya sentiasa menyantuni setiap aduan diterima dan mempergiat kerja asas.
“Sebelum ini, kita sentiasa laksana kerja naik taraf, kebersihan taman demi keselesaan penduduk, namun usaha ini terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Penting kepada MBPJ untuk menyedia perkhidmatan terbaik sekali gus memastikan penduduk berpuas hati terutama selepas cukai taksiran dinilai semula bermula tahun ini,” ujarnya.