SHAH ALAM, 3 MAC: Selangor mencatat kutipan hasil berjumlah RM597 juta setakat Februari, sekali gus mengekalkan konsistensi pertumbuhan ekonomi untuk dinikmati rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah kutipan dalam dua bulan pertama itu, dilihat sudah mencapai satu perempat sasaran kutipan hasil tahun ini iaitu kira-kira RM2.5 bilion.
“Tahun lepas kita sasar RM2.2 bilion tapi kita dapat RM2.8 bilion. Tahun ini kita sasarkan lebih sedikit, RM2.4 atau RM2.5 bilion. Saya pun takut, sebab setiap tahun lebih (sasaran), tahun ini takut tak sampai lebih.
“Tapi, alhamdulillah sampai Februari (saya tengok semalam) sudah dekat RM597 juta. Maknanya satu perempat daripada RM2 bilion itu kita sudah dapat dalam tempoh dua bulan pertama,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Teh Tarik, Kopi O terbitan Selangor FM, hari ini.
Amirudin berkata, secara asasnya Selangor mengutip hasil daripada aktiviti guna tanah termasuk pertanian, perusahaan dan perumahan, namun strategi dirangka supaya hasil negeri tidak semata-mata bergantung kepada cukai, premium atau pegangan tanah.
[caption id="attachment_686448" align="aligncenter" width="985"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (depan, kanan) dan Setiausaha Pertahanan Industri Pertahanan Turkiye Prof Dr Haluk Gorgun (depan, kiri) bertukar memorandum persefahaman (MoU) sambil disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Putrajaya pada 11 Februari 2025. Foto RADIN WAZIR[/caption]
“Sebab itu kita sarankan supaya anak-anak syarikat beri sumbangan yang mana tahun lepas, sumbangan anak syarikat RM54 juta dari keuntungan mereka supaya kita mempunyai pendapatan berterusan.
“Selain itu, projek seperti pelabuhan ketiga di Pulau Carey dengan Kerajaan Negeri memiliki pegangan 20 peratus di pulau itu. Itu taktikal kita supaya hasil bertambah. Jadi selagi mana aktiviti ekonominya baik ia akan beri keuntungan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata matlamat utama pentadbiran negeri adalah memastikan kemajuan yang dikecapi tidak hanya dinikmati segelintir pihak, tetapi dirasai semua lapisan masyarakat.
“Selangor mendapat pengiktirafan kira-kira 20 tahun lepas sebagai sebuah negeri paling maju dan selepas itu bila saya jadi Menteri Besar, saya ingin pastikan kemajuan di Selangor konsisten sebab itu pelbagai rancangan dan rencana negeri kita kemukakan seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Di negeri lain tiada seperti ini, kita ada Rancangan Selangor, lima tahun pelan perancangan untuk kemajuan ekonomi, sosial dan kehidupan rakyat,” katanya.
Sebelum ini Amirudin berkata Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri melepasi pencapaian terbaik kutipan pada 2017 iaitu RM2.811 bilion.
Selangor memperolah kutipan hasil RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion pada 2021.
[caption id="attachment_683712" align="aligncenter" width="970"] Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini[/caption]