SHAH ALAM, 3 MAC: Pencapaian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi 2024, tertinggi sejak 2017 didorong kebebasan institusi itu dalam menentukan keputusan pelaburan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk kerajaan.
Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Dr Barjoyai Bardai berkata KWSP bebas membuat pelaburan hingga RM1.5 trilion tanpa campur tangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
[caption id="attachment_169589" align="alignleft" width="400"] Ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Dr Barjoyai Bardai[/caption]
“Yang paling penting pengurusan dana ini menjadi cemerlang apabila tiada campur tangan dari pihak luar. Pelaburan RM1.5 trilion jumlah yang mencabar untuk mendapat semula pulangan namun KWSP membuktikan sebaliknya.
“Pasukan pengurus dana boleh membuat keputusan berasaskan kekukuhan fundamental pelaburan, sejak beberapa tahun ini tiada campur tangan kecuali pentadbiran sebelum perdana menteri ke-10 yang membenarkan pengeluaran caruman.
“Kesannya KWSP gagal mencapai matlamat menyediakan bakal pesara dengan simpanan RM200,00 dan enam juta pencarum mempunyai simpanan kurang RM10,000,” katanya kepada Media Selangor.
Kelmarin, KWSP mengumumkan kadar dividen sama rata 6.30 peratus bagi simpanan konvensional (agihan RM63.05 bilion) dan 6.30 peratus bagi simpanan syariah (agihan RM10.19 bilion). Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah RM73.24 bilion.
Mengulas mengenai prestasi simpanan syariah, Dr Barjoyai berkata pencapaian itu membuktikan pelaburan syariah mempunyai potensi mendapat pulangan lebih tinggi di tahun akan datang.
“Banyak pihak melihat pelaburan yang memenuhi kehendak syariah lebih susah untuk diuruskan dan kadar pulangan sentiasa lebih rendah.
“KWSP telah membuktikan pelaburan mematuhi syariah boleh mencapai prestasi yang sama dan pastinya lebih tinggi di masa akan datang kerana mendapat keberkatan Allah,” katanya.