SHAH ALAM, 2 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan program MySave Food@Ramadan Bazar bagi mengelak pembaziran makanan sekali gus membantu golongan memerlukan.
Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata inisiatif memasuki siri kelima itu berlangsung selama 14 hari bermula 4 hingga 20 Mac depan.
"MBSA terus anjur program ini bukan sahaja mengelak pembaziran makanan di bazar tetapi mengurangkan sisa untuk dihantar ke tapak pelupusan selain dapat membantu golongan kurang memerlukan.
"Tahun ini program membabitkan lima bazar berbanding tiga sebelum ini iaitu di Seksyen 13, Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 28 dan Seksyen U16.
“Semua makanan yang dikumpul ini diagih masjid, surau, pangsapuri kos rendah, asrama pelajar dan golongan kurang berkemampuan selepas solat tarawih,"katanya dihubungi Selangorkini.
[caption id="attachment_634037" align="alignnone" width="815"] Pusat pengumpulan makanan MBSA 'MySave Food' di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Beliau juga memaklumkan program berkenaan dibantu lebih 600 sukarelawan antaranya Pemuda GEMA Malaysia, Briged Sukarelawan UiTM dan Jabatan Pendidikan Tinggi.
Program MySave Food@Ramadan Bazar dimulakan MBSA sejak 2020 dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.
Tahun lalu, lebih 7,000 kilogram berjaya dikumpul menerusi program ini membabitkan tiga lokasi bazar Ramadan dan diagihkan ke 17 lokasi.
Peniaga bazar di lokasi yang terlibat boleh menghantar lebihan makanan yang tidak habis dijual ke khemah MBSA MySave Food.