SHAH ALAM, 2 MAC: Operasi kutipan sampah di seluruh Selangor bermula seawal jam 4 pagi sepanjang Ramadan ini, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).
Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata operasi kutipan diubah berbanding waktu kebiasaan bermula 7 pagi bagi membolehkan pekerja membuat persiapan berbuka puasa.
"Bagi kutipan sampah kita berdepan sedikit cabaran kerana hampir semua pekerja adalah Muslim, oleh itu kita ubah sedikit jadual dengan percepat waktu kutipan supaya kerja selesai lebih awal.
"Selain itu, untuk pembersihan di lebih 1,000 bazar Ramadan pula akan bermula selepas solat tarawih. KDEBWM berharap peniaga tidak buat pembaziran, kumpul lebihan makanan dan minuman untuk moreh dan sahur," katanya keika dihubungi SelangorKini.
[caption id="attachment_678076" align="alignleft" width="454"] Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani Misi #KitaSelangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Dataran SUK, Shah Alam pada 16 Disember 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ramli memaklumkan pihaknya meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan berkongsi rezeki kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan ini.
"Kita menerima ratusan permohonan daripada pelbagai pihak dan agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan. Kebanyakan mereka memohon sumbangan sempena Ramadan dan persiapan Aidilfitri babit golongan kurang berkemampuan serta anak yatim.
"Kita akan teliti semua permohonan selewatnya minggu pertama Ramadan dan cuba bantu seramai mungkin. Kemungkinan bantuan bertambah kerana rekod sebelum ini setiap tahun bertambah sejak mula dilaksana pada 2018," katanya.