ad
BERITA UTAMA

EXCO: 30 pusat jagaan mohon geran khas, proses pemutihan diterus

2 Mac 2025, 4:00 AM
EXCO: 30 pusat jagaan mohon geran khas, proses pemutihan diterus

SHAH ALAM, 2 MAC: Sebanyak 30 pusat jagaan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan geran disedia Kerajaan Negeri sejak dibuka Januari lalu.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata semua pusat jagaan yang memohon Geran Pusat Jagaan (GPJ) itu akan dinilai pada mesyuarat jawatankuasa dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka menerima bantuan bernilai RM5,000.

“Semua pengusaha pusat jagaan boleh memohon tetapi keutamaan diberikan kepada pusat jagaan yang proses kelulusan pendaftarannya hampir selesai atau tinggal 20 peratus lagi.

“Setakat ini yang memohon terdiri daripada pengusaha taska dan pusat jagaan warga emas. Selepas mendapat kelulusan, bantuan terus disalurkan kepada pelaksana atau konsultan terbabit supaya proses kelulusan selesai,” katanya dihubungi Selangorkini.

November tahun lalu, Anfaal memaklumkan Selangor memperkenal geran khas kepada pusat jagaan yang tidak berdaftar bagi galakan kepada pemilik buat pendaftaran dengan JKM.

Dengan peruntukan RM400,000, Anfaal memberitahu inisiatif Kerajaan Negeri itu sebahagian usaha memastikan semua taska berdaftar sekali gus mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu Anfaal, Kerajaan Negeri meneruskan proses pemutihan membabitkan pusat jagaan termasuk taska, warga emas dan orang kurang upaya supaya mereka berdaftar dengan JKM.

“Tindakan penutupan boleh dilaksana, tetapi ia tidak dapat selesaikan isu pendaftaran kerana kita mahu semua pengusaha pusat jagaan ini beroperasi mengikut undang-undang selain selamat diduduki.

“Oleh itu, menerusi proses pemutihan kita dapat kenal pasti punca mereka tidak berdaftar sekali gus membantu memudahkan mereka buat pendaftaran,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.