ad
AGENSI

LUAS: Kerja cuci tong cat disyaki punca aliran berwarna dalam longkang Kampung Desa Aman

2 Mac 2025, 1:48 AM
LUAS: Kerja cuci tong cat disyaki punca aliran berwarna dalam longkang Kampung Desa Aman

SHAH ALAM, 2 MAC: Premis perabot melakukan kerja mencuci tong cat disyaki punca aliran air berwarna dikesan dalam longkang di kawasan Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, petang semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan di Facebook semalam memaklumkan, insiden dikesan sekitar jam 3 petang.

"Hasil semakan dan pemerhatian di persekitaran, aliran berwarna tersebut disyaki berpunca daripada sebuah premis perabot.

"Semakan lanjut LUAS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati kerja cucian tong cat dilakukan oleh premis berkenaan di tapak basuhan premis dan ianya masuk ke dalam longkang berhampiran," menurut kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan LUAS meletakkan satu beg activated carbon (AC) di lokasi berkenaan bagi mengelakkan aliran berwarna terus mengalir keluar.

Selain itu, LUAS juga mengarahkan premis berkenaan melaksanakan kerja pembersihan di lokasi dengan kadar segera.

"Situasi di lokasi berjaya dikawal daripada memberikan dampak yang lebih teruk kepada sumber air dan sungai berhampiran.

"Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 79 (4) Enakmen LUAS 1999 sudah dibuka bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap kesalahan mencemarkan sumber air," kata kenyataan itu lagi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.