SHAH ALAM, 1 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyantuni penjawat awam menerusi program Ihya Ramadan di semua kementerian.
Setiausaha Akhbar Kanannya Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar juga akan menyampaikan sesi tazkirah ringkas diikuti tazkirah oleh penceramah jemputan.
“Program Ihya Ramadan bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani bukan sahaja dalam aspek ibadah tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
“Nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam selaras dengan teras kesejahteraan dalam Gagasan Madani,” katanya menerusi siaran Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Facebook rasmi Anwar.
Selain program Ihya Ramadan, Tunku Nashrul menambah, Anwar juga akan bertemu rakyat di beberapa negeri menerusi penganjuran majlis berbuka puasa Madani.
Menurutnya, majlis berkenaan diadakan bagi memperkukuh hubungan antara negeri dan kerajaan persekutuan selain sebagai tanda kebersamaan serta perpaduan.
“Butiran lanjut mengenai majlis berbuka puasa Madani akan diumum dalam masa terdekat di saluran rasmi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi Anwar bermula hari ini.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan memastikan masyarakat sentiasa menerima maklumat sahih secara terus selain menangkis sebaran fitnah dan maklumat palsu.
“Pejabat Perdana Menteri percaya, komunikasi yang jelas, keterbukaan pentadbiran dan pengukuhan nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan,” katanya.