SHAH ALAM, 1 MAC: Permohonan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) 2025 yang menawarkan bantuan RM1,000 kepada pelajar dibuka mulai hari ini hingga 30 Mac.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan pemberian RM1,000 secara sekali bayar itu khusus buat anak Selangor yang menepati kriteria ditetapkan.
Menurutnya, permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan http://www.danapendidikan.selangor.gov.my
“Permohonan akan dibuka dari 1 hingga 30 Mac dan sila baca syarat dengan teliti sebelum memohon.
“Tiada serahan dokumen fizikal di kaunter dan permohonan selepas tarikh tutup tidak diproses,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata HPIPT Selangor menawarkan bantuan RM1,000 kepada pelajar dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, insentif dengan peruntukan RM3 juta tahun ini untuk membantu pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Jelas beliau, HPIPT Selangor diberi kepada anak Selangor yang melanjutkan pendidikan ke IPTA dan IPTS diiktiraf bagi Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.