AMPANG JAYA, 1 MAC: Meskipun puasa akan bermula esok, beberapa peniaga memulakan operasi mereka di tapak Bazar Ramadan Padang Perbandaran MPAJ di sini, mulai Khamis.
Bermula 5 petang, ada dalam kalangan mereka menjual nasi beriani gam, nasi lemak dan ayam goreng, aneka kuih-muih serta air susu botol.
Usaha para peniaga itu bermula awal dilihat sebagai langkah berani memandangkan bilangan pengunjung tidak semeriah ketika bulan puasa.
[caption id="attachment_689432" align="alignnone" width="836"] Peniaga nasi beriani, Mohd Farhan Arifin di tapak Bazar Ramadan Padang Perbandaran MPAJ pada 28 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Salah seorang peniaga, Mohd Farhan Arifin, 40, menyokong tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mempercepat operasi bazar yang boleh membantu mereka membuat persiapan lebih awal.
“Berdasarkan pengalaman lima tahun saya berniaga di bazar ini, tindakan MPAJ awalkan operasi bagus, dapat elak sesak untuk kita susun kelengkapan ketika Ramadan.
“Memandangkan sini tapak parkir, ada peniaga yang terpaksa mula niaga lewat sebelum ini sebab masih ada kereta dalam kawasan tapak. Apabila operasi awal sekurang-kurangnya kita dapat letak khemah terus di sini.
“Alhamdulillah juga buat kali pertama tahun ini kita dapat tinggal khemah dan meja di sini, tidaklah kelam-kabut waktu Ramadan nanti,” katanya yang menjual Nasi Beriani Gam by Chef Farhan.
[caption id="attachment_689433" align="alignnone" width="865"] Peniaga ayam goreng, Badrul Kamaruzaman Jamaluddin di tapak Bazar Ramadhan Padang PerbandaranMPAJ pada 28 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Berbeza pula dengan Badrul Kamaruzaman Jamaluddin, 46, yang mengambil keputusan berniaga semalam kerana mahu melihat sambutan jualan ayam goreng dan nasi lemak kerana baru kali pertama memasuki tapak bazar Ramadan.
“Sebelum ini berniaga tepi jalan sahaja sebagai penjaja kecil, tahun ini kita cuba masuk bazar Ramadan. Walaupun jualan agak perlahan sebab belum Ramadan tetapi kita cuba sebab nak ambil ‘mood’.
“Sebagai orang baharu saya harap kita semua peniaga di sini dapat berniaga secara sihat. Untuk menu rahmah ayam goreng saya jual murah serendah RM2 sahaja,” katanya.
Rata-rata peniaga juga mengakui cabaran berniaga tahun ini agak mencabar apabila sesi persekolahan, Ramadan dan Hari Raya dalam jarak yang dekat.
[caption id="attachment_689434" align="alignleft" width="348"] N Rajeswary[/caption]
Pengunjung, N Rajeswary, 60, gembira apabila operasi bazar Ramadan diawalkan sekurang-kurangnya memberi ruang kepada kaum India dan Cina membeli juadah.
“Sudah lapan tahun tinggal di perumahan berhampiran sini, sebelum ini ketika bulan puasa saya akan ke bazar ini awal sekitar jam 3 petang supaya tak ganggu orang Islam membeli juadah berbuka,” katanya.
[caption id="attachment_689435" align="alignright" width="345"] Ruslina Abd Rahim[/caption]
Seorang lagi pengunjung, Ruslina Abd Rahim, 52, berharap operasi bazar dapat diawalkan juga pada tahun hadapan bagi memudahkan pembeli memilih makanan yang mengikut citarasa.
“Nanti kalau datang waktu Ramadan semua benda berselera, balik rumah kadang-kala tak kena citarasa, tetapi apabila kita dapat cuba dulu sebelum puasa kita sudah tahu gerai mana harus dituju nanti,” katanya.
MPAJ baru-baru ini menerusi kenyataan memaklumkan bazar Ramadan seliaannya akan beroperasi lebih awal iaitu pada 27 Februari, iaitu dua hari sebelum puasa.