ad
AGENDA

Proses pemilihan KEADILAN jadi medium menyatu, kukuh parti

1 Mac 2025, 1:17 AM
Proses pemilihan KEADILAN jadi medium menyatu, kukuh parti
Proses pemilihan KEADILAN jadi medium menyatu, kukuh parti

SHAH ALAM, 1 MAC: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan anggota parti bahawa proses pemilihan harus menjadi medium menyatu dan mengukuhkan parti, bukan memecah belah.

Dato’ Seri Amirudin Shari percaya dengan mengutamakan kepentingan bersama, KEADILAN dapat mengekalkan kestabilan politik dan menjadi contoh kepada negara dalam memperjuang keadilan serta kemakmuran rakyat.

“Pastikan pemilihan ini tidak ulang kisah lama yang pecahkan kita, sebaliknya pemilihan yang akan berlaku di semua peringkat harus satukan dan kukuhkan kita walau bagaimana sekali pun kita berada.

“Kukuhkan parti dan perpaduan yang ada dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan. Saya percaya dengan apa juga tohmahan, insya-Allah KEADILAN di Selangor akan tetap jadi benteng untuk kukuhkan semangat perpaduan dan kestabilan yang dilahirkan (Kerajaan Perpaduan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perdana Mesyuarat Agung Tahunan, Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang disempurnakan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, malam tadi.

[caption id="attachment_689427" align="alignnone" width="914"] Naib Presiden KEADILAN merangkap Pengerusi MPN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, AMK Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Amirudin menambah kerangka besar yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan dengan gabungan terbesar dalam sejarah Malaysia dianggotai pelbagai parti, menjamin kekukuhan dan boleh membawa Malaysia jauh ke hadapan.

“Tanggungjawab kita dalam KEADILAN, pertahankan dan perkukuhkan kerana kerangka ini telah terbukti menjadi salah satu resipi di Malaysia.

“Siapa yang mempunyai gabungan terbesar, mewakili semua, setiap pelusuk, sebagaimana kejadian penubuhan Barisan Nasional (BN) di tahun 1970-an. Kalau kita mampu kekalkan perpaduan ini, insya-Allah 40 hingga 50 tahun kita akan menerajui dan pastikan perubahan Malaysia ini jadi kenyataan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat (MPAMKP) parti berkenaan akan dijalankan pada 24 Mei depan.

Menurut Fuziah, pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula ditetapkan 11 hingga 20 April seperti diputuskan MPP setelah meneliti beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkait proses pemilihan Cabang dan Pusat bagi sesi 2025-2028.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.