ad
AGENDA

Pemilihan KEADILAN: Amirudin sah pertahan jawatan naib presiden

28 Feb 2025, 2:22 PM
Pemilihan KEADILAN: Amirudin sah pertahan jawatan naib presiden

SHAH ALAM, 28 FEB: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan tidak akan merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu Mei depan.

Amirudin sebaliknya mengumumkan akan mempertahankan jawatan naib presiden parti itu yang disandang sekarang.

“Siapa nak bertanding bertandinglah, siapa nak tawar diri, tawarlah. Tapi jaga batas, jaga sikap dan jaga bahasa Ramadan ini.

“Sebab itu saya berpendirian bahawa kita harus terus menyusun kekuatan demi untuk pastikan Selangor jitu. Kalau Selangor ada bukti kita jitu dan padu insyaAllah negeri lain juga jitu dan padu. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berdiri dengan sokongan 100 peratus tanpa ada belah bahagi.

“Untuk ke arah itu jangan kita nak api-apikan. Jadi cukuplah, jelas insya-Allah demi memikir itu, saya yakin perdana menteri harus dapat sokongan terus daripada Rafizi selaku timbalan presiden dan saya akan terus berdiri selaku naib presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju ke depan, Anwar penggal kedua selaku perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian perdana Mesyuarat Agung Tahunan, Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang disempurnakan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden KEADILAN Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN Fadhlina Sidek.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.