PASIR PUTEH, 28 FEB: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika mandi di lagun berhampiran Sungai Tok Bali, Jalan Semerak Tok Aman Bali, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 12 tahun dipercayai mandi di lagun berkenaan bersama dua lagi ahli keluarga.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, PBK I, Ibrahim Mohd Rohni, berkata mangsa dipercayai ke lokasi berkenaan bersama beberapa ahli keluarga untuk memancing.
Katanya, bomba menerima laporan berhubung kejadian jam 11.19 pagi dan lapan anggota bersama jentera ke lokasi.
"Mangsa bersama ahli keluarga dipercayai dari Bachok datang ke lagun untuk memancing dan selepas memancing, mangsa mandi bersama ahli keluarga sebelum didapati lemas.
"Kita melakukan pencarian 'water surface' bersama bot penyelamat bomba dan bantuan unit skuba," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa ditemui dalam lagun itu yang berkedalaman tiga meter dalam keadaan terlangkup jam 12.22 tengah hari.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.