ad
AGENDA

Penempatan warga asing diserbu, 96 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen

28 Feb 2025, 11:00 AM
Penempatan warga asing diserbu, 96 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen

PUTRAJAYA, 28 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 96 warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen dalam serbuan di kawasan penempatan warga asing di sekitar Kajang, Selangor pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata 135 pendatang asing tanpa izin diperiksa dalam operasi yang dijalankan pasukan itu bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, disertai 116 pegawai pelbagai pangkat.

“Lokasi serbuan tertumpu di sebuah lot tanah persendirian yang dibangunkan dengan rumah sewa secara tidak tersusun.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat pendatang asing tanpa izin cuba melarikan diri dan menyorok namun tindakan mereka digagalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung pendatang asing tanpa izin yang disyaki menetap di lokasi itu tanpa dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa yang merupakan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Beliau berkata kesemua pendatang asing tanpa izin berusia antara 20 dan 69 tahun itu kini ditahan di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanjut.

“JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.