ad
AGENDA

Pemukiman MMKN Siri Pertama bincang prestasi ekonomi negeri

28 Feb 2025, 10:30 AM
Pemukiman MMKN Siri Pertama bincang prestasi ekonomi negeri
Pemukiman MMKN Siri Pertama bincang prestasi ekonomi negeri

SHAH ALAM, 28 FEB: Pemukiman Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersama Dato’ Menteri Besar hari ini membincangkan prestasi semasa Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menerusi beberapa indikator utama.

Menurut MMKN Selangor, acara berkenaan turut membincangkan kerangka awal Rancangan Selangor Kedua (RS-2), yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri mulai 2026 dalam memastikan Selangor kekal menjadi negeri peneraju ekonomi.

"Sesi ini menjadi platform penting bagi kepimpinan Kerajaan Negeri untuk menilai keberkesanan dasar yang telah dilaksanakan serta menyusun strategi baharu yang lebih mampan dan progresif bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin," katanya dalam kenyataan.

Berlangsung Hotel Wyndham Acmar Klang, acara berkenaan menghimpunkan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri yang diketuai Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.

Dalam sesi ini, timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) membentangkan laporan pencapaian ekonomi di bawah RS-1 merangkumi kejayaan utama serta dampak terhadap pembangunan negeri.

Dato’ Johary Anuar turut menggariskan beberapa aspek yang boleh ditambah baik bagi memastikan dasar dan inisiatif sedia ada dapat diperhalusi untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi Selangor yang lebih mampan dan berdaya saing.

Seterusnya, hadirin mendengar taklimat serta pembentangan kerangka awal dengan tekad mengekalkan kedudukan Selangor sebagai negeri peneraju ekonomi selain destinasi utama pelaburan dan pembangunan di Malaysia.

[caption id="attachment_650699" align="aligncenter" width="724"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena Perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

RS-1 diumum pada Julai 2022 bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.

Melibatkan beberapa projek besar antaranya Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.