ad
AGENDA

Liputan rangkaian 5G di seluruh negara capai 82.4 peratus takat Disember

28 Feb 2025, 9:32 AM
Liputan rangkaian 5G di seluruh negara capai 82.4 peratus takat Disember
Liputan rangkaian 5G di seluruh negara capai 82.4 peratus takat Disember

KULAI, 28 FEB: Capaian liputan rangkaian 5G di negara ini mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember lalu, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Teo berkata capaian itu sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam memperluas akses komunikasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat juga mencatat peningkatan positif.

"Pengguna rangkaian 5G di seluruh negara turut meningkat kepada 53.35 peratus berbanding 24.6 peratus tahun lepas.

“Sementara kadar liputan rangkaian 4G di Johor mencapai 99.9 peratus sehingga 31 Disember lalu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Future Health 4 All (FH4A) di Dewan Raya Putra Kulai di sini hari ini.

[caption id="attachment_568621" align="alignleft" width="500"] Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. Foto BERNAMA[/caption]

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kulai itu berkata perkembangan berkenaan dilihat dapat memanfaatkan sektor kesihatan, terutamanya untuk membuat pemantauan dan saringan secara digital merealisasikan potensi penuh rangkaian 5G dalam memperkasakan sektor penjagaan kesihatan.

Beliau berkata Program Rintis FH4A diperkenalkan sebagai inisiatif strategik, bertujuan mengaplikasikan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara, selain memastikan keterangkuman dan kesaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan.

"Hasrat kami buat program sebegini adalah bagi mendidik masyarakat, pertama untuk kesedaran tentang kesihatan, keduanya bagaimana kita boleh mengguna pakai teknologi terkini untuk buat saringan kesihatan ataupun pemantauan kesihatan kerana nak dapat keputusan saringan kesihatan banyak peralatan diguna pakai.

"Jadi kami bawa teknologi ataupun solution provider ini supaya penduduk di sini boleh mengalami sendiri dan juga lebih peka tentang perkhidmatan ataupun teknologi sedia ada," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan pada Rabu, Teo berharap semua pemain dalam industri media akan menyokong pembentukan MMM ini kerana ini satu langkah penting mewujudkan platform kepada pengamal media, industri dan kerajaan untuk bekerjasama.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.