ad
AGENSI

UIS hasrat jadi universiti wakaf pertama, utamakan kebajikan, pendidikan penuntut

28 Feb 2025, 8:02 AM
UIS hasrat jadi universiti wakaf pertama, utamakan kebajikan, pendidikan penuntut
UIS hasrat jadi universiti wakaf pertama, utamakan kebajikan, pendidikan penuntut

HULU LANGAT, 28 FEB: Usaha menjadikan Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai Wakaf Universiti adalah permulaan penting membangun sistem pendidikan lestari dan berdaya maju berpaksikan kebajikan ummah.

Naib canselornya berkata sebagai langkah awal mencapai hasrat UIS menjadi universiti wakaf pertama di Malaysia, buat permulaan Wakaf Universiti UIS menumpukan wakaf tunai dengan segala sumbangan diterima akan dilaburkan dengan penuh amanah berlandaskan prinsip syariah.

Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menjelaskan pelaburan itu akan digunakan bagi menaja pengajian pelajar UIS yang layak berdasarkan merit dan kecemerlangan sebagai satu mekanisme utama dalam menjayakan misi pendidikan dan kebajikan institusi itu.

“Gerak kerja Wakaf Universiti bermula daripada kajian dijalankan pada 2018, seterusnya menghasilkan Pelan Strategik Wakaf Universiti 2020-2025 sebagai panduan awal pelaksanaan inisiatif ini.

“Hasrat ini kemudiannya mendapat sokongan dan dorongan lebih kuat, apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Februari 2024 bertitah agar UIS menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor,” katanya berucap menyempurnakan majlis Prapelancaran UIS sebagai Wakaf Universiti hari ini.

Mohd Farid menjelaskan, pihaknya melakukan kajian kebolehlaksanaan penggunaan terma Wakaf Universiti bagi menggantikan Universiti Wakaf untuk menyesuaikan penggunaannya dengan pusat pendidikan itu yang sudah wujud sejak 1995.

“Kita setuju untuk gunakan (terma) wakaf universiti sebab kalau guna universiti wakaf, ia perlu dari kosong, mula bina dan semuanya menggunakan dana wakaf. Tapi UIS, universiti sudah ada, maka (sesuai guna) wakaf universiti,” katanya.

[caption id="attachment_689347" align="aligncenter" width="1287"] Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) Dato' Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor Anwar Hamzah Tohar (tiga kanan) bersama jawatankuasa pada Majlis Prapelancaran UIS sebagai Wakaf Universiti di Auditorium Mohd Adanan Isman, Universiti Islam Selangor pada 28 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Menurutnya, konsep Wakaf Universiti itu berteraskan beberapa elemen penting iaitu tidak berorientasikan keuntungan yang mana wakaf itu bukan untuk tujuan komersial, tetapi keseluruhannya digunakan bagi menyokong objektif pendidikan dan kemasyarakatan.

Selain itu, pembiayaan mampan melalui wakaf tunai yang mana model kewangan yang dibina memastikan kelangsungan pembiayaan pendidikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumber luar sekali gus mewujudkan kestabilan yang dapat memberikan manfaat kepada generasi pelajar UIS akan datang.

“Tadbir urus dan pematuhan syariah pengurusan wakaf ini dilakukan secara telus bagi menjamin kepercayaan dan keyakinan penyumbang amanah yang harus dipelihara serta memastikan UIS terus berperanan dalam membangunkan ummah, melahirkan pemimpin yang berintegriti, berilmu dan berakhlak,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan keberkesanan pengurusan Wakaf Universiti UIS, pengurusan dana wakaf ini akan diuruskan oleh Yayasan KUIS sebagai badan bertanggungjawab menguruskan wakaf universiti.

“Yayasan KUIS akan memastikan setiap sumbangan diuruskan secara profesional dan selaras dengan prinsip syariah serta objektif wakaf itu sendiri. Penyumbang yang berminat boleh merujuk kepada laman sesawang UIS atau Yayasan KUIS untuk maklumat lanjut,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.