SHAH ALAM, 28 FEB: Penyerahan pampasan kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor baru-baru ini, bakal membuka ruang kepada pembangunan lebih besar di kawasan berkenaan.
Dato’ Menteri Besar menerusi berkata antara projek yang akan dibina adalah masjid, sekolah, tapak industri kecil dan sederhana (IKS), dan pusat data, sekali gus menghidupkan kembali Sungai Buaya.
“Dengan kelulusan penyelesaian pada Oktober 2022, Kerajaan Negeri menunaikan komitmen dengan penyaluran RM100,000 kepada setiap peneroka sebagai baki pampasan tertunggak.
“Lebih dari sekadar pampasan, inisiatif ini membuka ruang kepada pembangunan lebih besar iaitu masjid, sekolah, tapak IKS dan pusat data yang bakal menghidupkan kembali Sungai Buaya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
Pada 23 Februari, seramai 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya menerima baki pampasan berjumlah RM100,000 setiap seorang, sekali gus menamatkan penantian sejak 30 tahun.
Amirudin berkata penyelesaian isu yang tertangguh sejak 1994 adalah hasil kerjasama semua pihak yang berusaha mencari titik noktah biarpun dalam tempoh yang sangat panjang.
Bandar Sungai Buaya pada asalnya adalah kawasan Felda yang dibatalkan pewartaan Akta Tanah (kawasan penempatan berkelompok) 1960 pada 1995.
Pembatalan itu selaras pemohonan daripada pemilik tanah bagi membolehkan kawasan terbabit dibangunkan namun pemaju yang dilantik gagal memajukan akibat kemelesetan ekonomi.
[embed]https://www.tiktok.com/@amirudinshari/video/7476094461282487560?is_from_webapp=1&sender_device=pc[/embed]
,