ad
AGENDA

Kru kapal jatuh di muara sungai ketika kerja pembersihan ditemui lemas

28 Feb 2025, 1:07 AM
Kru kapal jatuh di muara sungai ketika kerja pembersihan ditemui lemas

KUALA TERENGGANU, 28 FEB: Kru kapal yang dilaporkan terjatuh ke dalam muara Sungai Terengganu ketika melakukan kerja pembersihan ditemukan lemas berhampiran Masjid Kristal di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mayat Ahmat Nasaruddin Muhamad, 35, dijumpai pekerja restoran sekitar 9.34 malam, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menerusi sistem MERS 999.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Proses pengecaman telah dilakukan oleh bapa dan isteri mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa Siti Zarina Muhammad, 42, berkata walaupun sedih, dia dan keluarga lega kerana mayat adik lelaki bongsunya itu telah ditemukan.

Siti Zarina berkata mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna dengan hanya kesan luka kecil di kepala dipercayai kesan terhantuk pada objek keras ketika terjatuh.

"Arwah meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung lapan bulan dan empat anak perempuan berusia empat hingga 10 tahun," katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.