ad
BERITA UTAMA

SUKMA 2026: Selangor cadang tambah acara e-sukan, catur, silambam

28 Feb 2025, 1:00 AM
SUKMA 2026: Selangor cadang tambah acara e-sukan, catur, silambam

SHAH ALAM, 28 FEB: Tiga acara tambahan iaitu e-sukan, catur dan silambam dicadang dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

EXCO sukan berkata perkara tersebut perlu mendapat persetujuan semua Majlis Sukan Negeri (MSN) dan keputusan muktamad mengenainya akan diumumkan sebelum Ogos depan.

"Dalam mesyuarat dipengerusikan menteri belia dan sukan semalam (kelmarin), kita bentangkan perancangan SUKMA Selangor. Kita minta persetujuan anjur sukan tambahan. Mengikut peraturan SUKMA, kita kena umumkan setahun sebelum kejohanan, jadi kita akan umumkan sebelum Ogos ini.

“Mesyuarat setuju mempertandingkan 28 sukan teras. Namun sukan tambahan belum dimuktamad kerana pelbagai pandangan diambil kira. Oleh itu, setiap pengarah MSN akan berbincang dan bawa semula ke mesyuarat akan datang.

“Selangor mahu sukan tambahan ini dipertanding. Sukan tambahan ini mempunyai prospek dan atlet yang bertanding berpotensi ke peringkat lebih tinggi,” kata Mohd Najwan Halimi pada sidang media Selangor Havoc Raya Fest 2025 hari ini.

Mengulas mengenai lokasi penganjuran, Mohd Najwan berkata sekretariat SUKMA sedang berbincang dengan pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengenai logistik, tema dan konsep perasmian temasya dwitahunan itu.

“Selain itu, kemungkinan perasmian untuk Para SUKMA yang sebelum ini dicadang di Stadium MBPJ ditukar ke stadium tertutup berikutan kapasiti lebih kecil selain hanya 10 sukan teras dipertanding,” ujarnya.

Dalam pembentangan belanjawan 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksana program pembangunan sukan sebagai persiapan SUKMA ke-22. Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.