LONDON, 27 FEB: Umat Islam di London menyuarakan kebimbangan susulan beberapa siri serangan Islamofobia bulan lepas, menyaksikan masjid, pusat komuniti dan sebuah sekolah dirosakkan dengan grafiti anti-Islam.
Menjelang ketibaan bulan suci Ramadan, pemimpin masyarakat menyeru agar langkah keselamatan dipertingkatkan untuk melindungi jemaah dan institusi agama daripada serangan selanjutnya, lapor Anadolu Ajansi.
Tujuh bangunan, termasuk masjid, pusat komuniti dan sebuah sekolah rendah, menjadi sasaran antara 6 Jan dan 25 Jan, mengejutkan penduduk tempatan dan pemimpin agama.
Polis Metropolitan mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat "beberapa insiden kerosakan jenayah" dan menganggapnya sebagai jenayah kebencian yang "mengejutkan".
Serangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam, dengan beberapa organisasi seperti Waltham Forest Council of Mosques (WFCOM) mengecam sekeras-kerasnya insiden berkenaan serta menegaskan bahawa umat Islam “tidak gentar dengan tindakan segelintir individu jahil yang cuba menimbulkan perpecahan.”
Antara institusi yang menjadi sasaran ialah Masjid Jamia Leyton di timur London, dalam kawasan Waltham Forest.
Pada 23 Jan, individu tidak dikenali menconteng tingkap masjid dengan frasa “Stop Islam,” yang meningkatkan lagi kebimbangan komuniti Islam tempatan.
Pengerusi masjid Shabir Hussain mengenang detik mencemaskan ketika serangan itu dikesan.
“Sebaik sahaja kami menyedari grafiti itu, kami segera melaporkannya kepada Polis Metropolitan. Sejujurnya, mereka sangat membantu dan segera memaklumkan pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Anadolu.
Pihak berkuasa bertindak pantas dengan menghantar kakitangan majlis perbandaran untuk membersihkan grafiti pada hari yang sama.
Serangan itu turut menarik perhatian ahli politik tempatan, termasuk Ahli Parlimen Parti Buruh bagi Leyton dan Wanstead, Calvin Bailey, yang melawat masjid tersebut bagi menyatakan solidariti.
“Semua pihak berkuasa tempatan sangat membantu,” kata Hussain.
Polis telah mengumpulkan rakaman CCTV dari masjid berkenaan dan menugaskan seorang inspektor polis agama bagi menilai keadaan. Hussain menegaskan bahawa meskipun insiden itu membimbangkan, masyarakat di Leyton secara keseluruhannya tetap menyokong umat Islam.
“Kebanyakan orang di sini sangat mesra dan saling membantu...Kami semua hidup sebagai satu keluarga,” katanya.
Gelombang serangan ke atas masjid dan institusi Islam ini menambahkan lagi kebimbangan terhadap Islamofobia di United Kingdom (UK).
Satu tinjauan yang dijalankan oleh syarikat kajian pendapat Survation bagi pihak Tell Mama, sebuah NGO yang memantau jenayah kebencian terhadap Muslim, mendapati bahawa umat Islam British semakin bimbang terhadap keselamatan mereka.
Menurut tinjauan itu, seorang daripada empat umat Islam melaporkan pernah mengalami jenayah kebencian berunsur Islamofobia susulan rusuhan sayap kanan di UK pada musim panas tahun lepas .
Menjelang Ramadan, Hussain menggesa pihak berkuasa supaya melaksanakan langkah keselamatan tambahan bagi menjamin keselamatan jemaah.
“Kami telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan polis agama. Kami memerlukan bantuan sepanjang Ramadan,” katanya.
Walaupun tidak mengharapkan polis ditempatkan secara tetap di luar masjid, komuniti berkenaan berharap pihak berkuasa akan meningkatkan kawalan terutama pada waktu solat yang sibuk, tambahnya.
Hussain turut mengenang insiden serupa yang pernah berlaku sebelum ini tetapi menegaskan bahawa masjidnya sentiasa mengamalkan pendekatan damai.
“Tindak balas kami bukan dengan membalas kejahatan dengan kejahatan. Sebaliknya, kami membalas dengan kasih sayang,” katanya.
Manzoor Hussain, yang bertanggungjawab ke atas pendidikan kanak-kanak di masjid itu, juga menceritakan kejadian pada 23 Jan.
Seorang pegawai polis yang pertama kali menyedari grafiti itu telah memaklumkan kepada pengurusan masjid, katanya.
“Apabila kami keluar melihat, kami menyedari bahawa bukan hanya kami yang menjadi sasaran – beberapa masjid lain dan juga rumah-rumah turut diconteng,” katanya.
Hussain turut meluahkan kekecewaan kerana masih tiada perkembangan mengenai pelaku, dengan masyarakat ingin mengetahui “siapa yang melakukannya dan mengapa.”
Beliau juga menyuarakan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan menjelang Ramadan.
“Ramadan semakin hampir, dan kami agak bimbang kerana memerlukan perlindungan atau kawalan keselamatan. Ketika kami sedang bersolat, seseorang boleh masuk dan melakukan sesuatu yang buruk, membakar tempat ini, atau lebih teruk lagi,” katanya.
Tindakan vandalisme baru-baru ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat bahawa ia mungkin satu amaran untuk serangan yang lebih besar.
“Mungkin ini cara mereka menghantar mesej. Dengan Ramadan semakin hampir, kami bimbang mereka mungkin merancang untuk melakukan sesuatu yang lebih dahsyat,” tambahnya.
- BERNAMA-ANADOLU