RAMALLAH, 27 FEB: Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin menyatakan bahawa keadaan tahanan di Penjara Shatta amat tragis, dengan mereka dipukul dengan teruk dan disembur dengan gas secara berterusan.
Menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), suruhanjaya itu turut mendedahkan bahawa makanan yang diberikan kepada tahanan dalam tahanan Israel adalah mentah dan tidak mengandungi garam.
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu memetik tahanan yang sakit sebagai berkata bahawa pentadbiran penjara rejim itu mengamalkan pengabaian perubatan terhadap tahanan, khususnya mereka yang menghidap penyakit.
Ia menekankan bahawa Walid Muslim, yang ditahan sejak September 2024, telah mengalami penyakit psoriasis selepas ditahan. Keadaan kesihatannya semakin merosot kerana tidak menerima sebarang rawatan walaupun dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, seorang lagi tahanan Fadi Raddad mengalami kesakitan teruk pada bahu kanan dan belakang badannya selepas dipukul oleh pengawal penjara dan berikutan kecuaian perubatan yang disengajakan oleh pihak penjara serta kegagalan mereka menyediakan rawatan sewajarnya.
Selepas lawatan peguam, para tahanan meminta pihak berkaitan membekalkan jam di dalam penjara serta memaklumkan waktu berbuka puasa dan azan, khususnya menjelang bulan Ramadan. Mereka juga meminta tambahan naskhah al-Quran di bilik mereka memandangkan ketika ini hanya terdapat satu naskhah bagi setiap bilik.
Tahanan turut merayu kepada institusi berkaitan supaya membantu mereka dengan mendesak pentadbiran penjara membenarkan mereka menjalankan ibadah sepanjang bulan Ramadan serta meningkatkan kualiti makanan.
- BERNAMA-WAFA