KUALA LUMPUR, 27 FEB: Polis sedang menyiasat kemungkinan 47 kilang sisa elektronik dan elektrik (e-sisa) beroperasi secara haram yang diserbu dalam operasi di seluruh negara baru-baru ini mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata siasatan kini menumpukan kepada syarikat yang mengendalikan operasi kilang berkenaan.
"Setakat ini, kami belum dapat membuat kesimpulan bahawa kilang-kilang ini beroperasi secara bersindiket, namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata kebanyakan kilang yang diserbu mendapat bekalan sisa elektronik yang diseludup masuk melalui jalan laut dan satu daripada kilang yang diserbu di Sarawak itu memperoleh sisa elektronik daripada pembekal tempatan yang mengutip e-sisa terbabit daripada orang awam.
Azmi berkata kerjasama antara pelbagai agensi penguatkuasaan penting dalam memerangi kilang haram ini secara berkesan dan polis serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain.
Dalam Op Hazard yang dijalankan di seluruh negara pada 15 Feb lepas, JAS memeriksa 47 kilang dan mendapati 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan dan satu gudang haram.
- BERNAMA